kisah aqu (si bongsu)

SEBELUM masuk U diri aku ini sudah pun jadi cikgu, ... Biasalah, sudah juga ada kekasih yang dicintai; dan sudah ada gaji; tanggunglah dia belajar juga sebab dia anak orang miskin. Aku ambil STPM (HSC) dan berjaya pula, lalu aku dapat masuk U.

Biasiswa pun senang dapat pada masa itu; cukuplah untuk aku dapat tanggung kekasih hati hingga aku boleh belikan dia sebuah basikal, buku, baju... biasalah, supaya dia boleh berjaya sebagaimana aku juga dalam pelajaran. Dia pun masuk U akhirnya; maka sakanlah aku bercinta dengannya apabila kami dapat berada di kampus yang sama di Universiti Malaya itu!

Sejak kekasihku itu masuk U keluarganya juga berubah dari kehidupan yang miskin, tiba-tiba saja ayahnya dapat rezeki yang kelihatannya berjaya mengubah dari keluarga miskin bertukar menjadi keluarga yang sederhana dari segi sosio-ekonominya.

Ibu dan ayah aku pula suruh aku bertunang supaya cepat boleh kahwin; maka betunanglah aku dengan kekasih aku itu; bagaikan pucuk dicita, ulam pula tiba bagiku!

Habis belajar di U aku kembali jadi cikgu, … dan berpisah-berjauhanlah aku dengan si dia yang tercinta; kerana dia terus berada di U sedangkan aku adalah Cikgu di sebuah sekolah menengah di Perak. Sewaktu pertemuan terakhir aku dengannya di kampus dulu, menangis dia.

Ibu dan Ayah aku suruh aku kahwin cepat; sudah ada gaji apa hendak tunggu-tunggu lagi; kata mereka. Pihak keluarga kekasih aku pula bersetuju. Hari perkahwinan pun ditetapkan iaitu dua minggu selepas Konvo. .... Persiapan pun dibuat; kad jemputan kawhin pun diedar/kirim.

Sehari sebelum konvo 11 Mei 1972 Ibuku kembali ke Rahmatullah kerana Ibu aku itu memang sudah lama juga sekejap sakit dan sekejap sihat.

Majlis konvo pada 12 Mei 1972. … Pemergian Ibu aku itu menyebabkan hati aku jadi tawar untuk menghadiri majlis konvokesyen itu… nak pergi ke taknak, nak pergi ke taknak, …. kerana Ibu sudah tiada; lebih-lebih lagi janji dulu bahawa Ibu dengan Ayahku hendak ikut, hendak tengok aku terima ijazah; tetapi bila Ibuku sudah tiada; tiba-tiba konvo itu bagi aku sudah menjadi tidak bermakna lagi. Namun Ayah aku kata: Kamu pergilah, ayah ni tak payah pergilah, sebab malam ni nak buat tahlil emak kamu… nanti ayah dapat tengok gambar saja pun, jadilah!

Apabila Ayah aku kata begitu, maka pergilah aku ke KL petang itu juga selepas selesai Ibuku selamat disemadikan; … Lagi pun sebuah kereta memang sudah siap aku sewa; dan anak-anak saudara aku Ja, Biah dan Harizah sajalah yang ikut pergi mengiringi aku, … kereta yang aku sewa itu dipandu oleh Kama, adik angkat aku kerana aku tidak boleh memandu disebabkan aku adalah seorang OKU.

Sampai saja di Sungkai, sebuah kereta merces dari arah Kuala Lumpur tiba-tiba makan jalan lalu melanggar kereta yang sedang kami naiki; pecah habis lampu di sebelah kanan, terkopak. Nasib baik kami tadak apa-apa, dan mujurlah lampu signal di sebelah kanan masih berfungsi. Tuan punya kereta merces itu kata jangan report police lalu dia beri Business Card-nya kepada aku dan minta kereta sewa yang kami pakai itu dibaiki di alamat yang ada di dalam Business Card-nya itu.

Tertera pada kad itu namanya seorang cina - General Manager Cycle & Carriage pada masa itu. Lega hati aku rasa kerana tentulah dia tidak tipu; aku bersangka baik. Kereta sewa yang kami naiki itu masih boleh berjalan pada malam itu kerana enjinya tidak rosak dan lampu sebelah kirinya tiada terjejas, bahkan signal sebelah kanan boleh digunakan. Sampai ke KL kami menginap di rumah sepupu aku di Datuk Keramat.

Pagi esoknya kami terus ke Universiti Malaya untuk aku ke Majlis Konvo. Di hadapan Dewan Tunku Canselor itu mata aku mencari-cari tunang aku, kekasih aku yang tercinta, tetapi anehnya tiada kelihatan. Bayangnya pun tiada…..
[Masa itu dalam tahun 1972 manalah ada HP, tidak ada.]

Hairan juga aku; tiada nampak-nampak pun si dia aku itu sedangkan dari awal-awal dulu lagi aku sudah tulis surat beritahu dia dan dia pula balas mengatakan bahawa dia akan tunggu di depan Dewan Tunku Cancelor itu, di hadapan Bank Bumiputra. Parah rasa hatiku ini kerana ketiadaannya…. Ke mana pula perginya? …..

Upacara konvo: beratur masuk ke Dewan, para graduan terus mengambil tempat sajalah … dengan hatiku sedih pilu aku duduk di kerusi …. Sudahlah kelmarin Ibuku pergi tiada akan kembali, tiba-tiba hari ini tunang aku pula tiada bersama-sama sebagaimana yang aku harapi dan dijanji untuk bertemu dengannya di sini.

Waktu nama aku diumumkan untuk giliran aku naik ke pentas menerima ijzah, air mata aku tidak dapat aku tahan-tahan, …. Sudahlah Ibuku tiada, Ayah juga tiada bersama; tunang yang dicintai pula tidak nampak pula mukanya, dia pergi entah ke mana.

Sufian Hashim (Tun Sufian - bekas Ketua Hakim Negara) selaku Pro-Canselor Universiti yang sampaikan skrol ijazah, … Bila aku bersalam dengannya, dia tanya aku: “Kak Wan ada datang sama?”….. Aku beritahu dia Ibuku itu sudah kembali ke Rahmatullah yesterday. Terperanjat dia! ….

Dia kata tak apa, nanti lepas saja selesai konvo ini kamu jumpa aku di dewan makan di sebelah belakang Dewan.
[Agak lama juga aku berdiri berada di atas pentas itu, sebab dia tanya: Ayah kamu datang ke? Ayah kamu sehat ke? Kamu sambung jadi cikgu ke? Kak Wan meninggal sakit apa? Berapa lama Kak Wan sakit? Kenapa tak bagi tahu aku yang Kak Wan sakit? ].

Selepas Majlis Konvo itu selesai, aku tunaikan janji pergi menemui Pak Pian, iaitu Tun Sufian itu adalah sepupu Ibuku. Aku bagi tahu guard yang menjaga pintu dewan di mana mereka siap sedia untuk makan itu, yang Hakim Sufian hendak jumpa aku. Dia buka pintu. Dan bila Pak Pian nampak saja aku lalu terus dia gamit aku. Aku pun pergi menghampirinya.

Orang-orang VIP yang menjadi tetamu di situ semua perhati tengok. …. Pak Pian seluk saku seluarnya lalu dia keluarkan dari dompetnya sekeping wang kertas RM500 (masa itu ada wang kertas RM500 masih diguna-pakai) dan dia terus bersalam dengan aku sambil dia beri wang itu. Katanya: Buatlah kenduri tahlil untuk Kak Wan. Sampaikan salam aku kat Abang ...( Ayah aku).

Di luar Dewan Tunku Canselor aku bertemu semula dengan anak-anak saudara aku dan juga Kama. Para graduan sebok bergambar. Mata aku ini mencari-cari.. Ke mana kau wahai kekasih, …. janji nak bertemu di sini, kata hati ini. Sambil bergambar dengan anak-anak saudara; aku terserempak dengan Siti Zaharah Ibrahim (kini Allahyarham), iaitu Pengarang di Utusan. Beliau ialah kakak kepada Abdul Khalid Ibrahim  [sekarang Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim – MB Selangor] yang juga menghadiri konvo itu kerana dia juga turut menerima ijazahnya.

Aku mengenali Kak Siti Zaharah itu kerana semasa aku mahasiswa aku diberinya peluang mengendalikan dua ruangan dalam Utusan Pelajar, iaitu ruangan Kemusykilan Anda dan ruangan Tahukah Anda?. Semasa menjadi mahasiswa itu juga Abdul Khalid berjiran dengan aku di Tan Yew jangan guna Garden, di samping aku ini berjiran juga dengan A. Samad Said, Pengarang Berita Minggu.

Bergambarlah aku dengan rakan-rakan sekonvo termasuk Khalid Ibrahim yang diambil oleh jurugambar Utusan yang mengiringi Kak Siti Zaharah. ... Kak Siti Zaharah lihat wajah aku mosot saja, lalu dia tanya kenapa? Aku ceritalah habis - Ibuku sudah tiada, meninggal semalam. Terus saja dia minta juru gambar ambil gambar aku; dan gambar itulah esoknya terpampang di muka depan dalam Utusan Melayu (jawi) bertajuk "CERITA SEDIH SEORANG SISWAZAH", yang ceritanya hanya cerita mengenai kematian Ibuku sehari sebelum Majlis Konvo - itu saja. Dulu Konvo memang glamour.

Tunggu dan terus aku terkapar-kapar bagai kelemasan, seakan-akannya seperti mana yang dirintihkan dalam lirik lagu Merisik Khabar dendangan Sudirman itu, aku tertanya-tanya di hatiku ini: Ke manakah kau pergi wahai Normawati; kekasih hati; kenapa tiada kelihatan pula sehingga kini?... Risau amat melanda mengasak-ngasak hati aku, .... apakah yang sudah terjadi kepada diri tunangku itu.

Pada mulanya terlintas juga di hatiku ini, ingat juga nak pergi ke Fourth College (asrama) tempat dia menginap, nak jumpa; tetapi hatiku ini jadi merajuk pula; taknak pergi. Sampai ke-sudah aku menunggu bagai menunggu ara tidak bergetah; .....akhirnya melangkahlah kaki aku menuju ke kereta bersama-sama dengan anak-anak saudara aku dan juga Kama meninggalkan kampus; lalu terus pergi membawa hatiku ini yang parah terluka ke bengkel kereta untuk kereta itu diperbaiki, tetapi bukan pergi untuk hatiku yang remuk redam ini yang akan diperbaiki.
___________________

DI Bengkel membaiki kereta, cina tu kata 2 hari baru boleh siap. Harizah anak saudara aku terus gunakan public phone, dia telefon beritahu ayahnya (Abang ipar aku iaitu Abang Ti-an) bahawa kereta eksiden di Sungkai, kena baik 2 hari. Ayahnya itu seorang yang pekak badak. Sementara menunggu kereta siap kami terus menginap di rumah sepupu. Hari esoknya tiba-tiba Abang Ti-an datang menaiki kereta dengan 2 orang abang aku, Abang Usop dan Abang Pi. . Apa hal? ...  Abang Usop menangis, dan Abang Ti-an juga menangis. Apa hal?

Terperanjat kami bila Abang Usop kata: Orang dah gali 2 lubang kubur, kata 2 dah mati kerana eksiden tu! Tanya kat Hospital Sungkai tak ada! Nak telefon tanya kat sini tak tahu nombornya kat rumah ni.

Abang Ti-an, iaitu abang ipar aku pula marah-marahkan anaknya Harizah; katanya: Belum sempat Ayah tanya, kamu dah letak telefon, kamu kata eksiden di Sungkai 2 dah mati!

Harizah kata: Bukan 2 dah mati, nak baik kereta tu kena 2 hari! Ayah tu yang pekak badak!

Bagi aku yang mendengar hal itu, tidak ada sedikit pun terasa hendak gelak, senyum pun aku tidak kerana hatiku hiba lantaran Ibu aku sudah tiada, .... tunang aku pula sudah entah ke mana!

Comments

Post a Comment